Skip to content Skip to footer

Peranan Undang-Undang untuk Melindungi Harimau Malaya (Bahagian 2)

Apakah undang-undang yang sedang dikuatkuasa di Malaysia untuk membanteras pemburu haram?

Dua Akta utama berperanan untuk membanteras kegiatan haram yang menganiaya hidupan liar Malaysia, iaitu Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) yang telah dikuatkuasakan sepenuhnya.

Bagi memperhebat penguatkuasaan terhadap sindiket pemburuan haram ke atas hidupan liar termasuk Harimau Malaya, pindaan telah dibuat ke atas Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Pindaan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) antara lain menyaksikan hukuman denda maksimum dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi pesalah di bawah akta itu, manakala peningkatan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun telah dinaikkan kepada 15 tahun untuk pesalah di bawah akta tersebut.

Kerajaan Malaysia juga turut mengambil tindakan drastik bagi menghalang penyeludupan Harimau Malaya ke luar negara. Ini dilakukan dengan menggembleng tenaga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memerangi jenayah pemerdagangan organ harimau, khususnya melalui jalan darat.

Sebagai contoh, pada Februari 2017, kerjasama antara Perhilitan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya menumpaskan kumpulan pemburu haram tegar di Gua Musang, Kelantan, termasuk menahan seorang pengurus besar syarikat perladangan yang beroperasi di sebalik lesen ladangnya. Kejayaan itu telah melumpuhkan salah satu sindiket terbesar di Kelantan yang telah membunuh banyak hidupan liar dan memasarkannya di pasaran tempatan dan pasaran gelap. Dalam tangkapan tersebut, pihak berkuasa turut menjumpai senjata api, bahan letupan, gergaji berantai dan peletus letupan lain.

Kesan Penguatkuasaan Undang-Undang Hidupan Liar

Pindaan kepada Akta 716 telah mula dikuatkuasakan sejak Julai 2022 bagi memastikan kes penyeludupan hidupan liar di negara ini menurun berikutan hukuman lebih berat dikenakan ke atas penyeludup.

Pelbagai inisiatif turut dilakukan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (KeTSA) dan Jabatan Perhilitan dalam usaha memperkasa aspek penguatkuasaan di semua peringkat, antara lain, pengukuhan daripada segi pengawalan dan pemantauan di pintu keluar-masuk negara dengan menempatkan seramai 30 anggota penguatkuasa Perhilitan di 14 pintu keluar-masuk di Semenanjung Malaysia. Selain itu, unit anjing pengesan (K9) turut diwujudkan bagi mengesan hidupan liar yang diseludup di lapangan terbang dan pelabuhan.

Walau pun Malaysia mempunyai perundangan bagi melawan sindiket ini, namun pada masa yang sama, badan penguatkuasa turut menghadapi ancaman ugutan dan jenayah yang lain daripada pemburu-pemburu haram. Bukan sekali dua kita mendengar pengalaman pegawai Perhilitan, PDRM dan pasukan renjer yang berdepan tindakan biadap pemburu haram yang menaburkan paku-paku besar di atas laluan masuk ke hutan untuk mencederakan pegawai penguatkuasa atau memancitkan tayar kenderaan yang mereka gunakan. Ada juga pemburu tegar yang membawa senjata api  haram yang tidak berlesen dan melakukan tindakan agresif terhadap pegawai hutan, pegawai Perhilitan dan renjer apabila berhadapan dengan mereka.

Sehubungan itu, bermula 2019, PDRM turut memberi kuasa khas kepada pegawai Perhilitan untuk menembak pemburu haram sekiranya nyawa mereka terancam akibat pemburu yang agresif dan ganas.

Memupuk Kasih Sayang, Membina Kesedaran terhadap Harimau Malaya

Biarpun instrumen perundangan merupakan antara kaedah terbaik untuk mengatasi pemburuan haram ke atas Harimau Malaya, undang-undang semata-mata tidaklah menjadi senjata ampuh untuk mengekang penjenayah yang zalim dan tiada hati perut untuk terus membantai Harimau Malaya demi mengaut keuntungan.

Di sinilah perlu adanya kesedaran dan kepekaan yang lebih tinggi dalam kalangan masyarakat agar perasaan kasih sayang dipupuk terhadap hidupan liar bermula di bangku sekolah.

Dalam hal ini, Pemangku Raja Pahang, KDYMM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menzahirkan kesungguhan, iltizam dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi terhadap raja rimba negara, yakni Harimau Malaya yang dianiaya dengan amat kejam.

Dengan kasih sayang dan kebijaksanaan Tuanku terhadap haiwan yang tidak berdosa ini, sebuah pasukan khas iaitu Renjer Hutan Pahang atau Unit Peronda Hidupan Liar Pahang telah ditubuhkan khusus bagi melindungi Harimau Malaya daripada terus menjadi mangsa keganasan pemburu haram. Pasukan tersebut ialah pasukan khas yang terlatih untuk memperkasa penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada di Pahang. Malah, sebuah Pusat Pemuliharaan Harimau Malaya juga telah ditubuhkan di Lanchang, Pahang khusus bagi melindungi Harimau Malaya.

harimau malaya di pinggiran sungai

Undang-undang perlu ditegakkan

Hakikatnya, pemburuan haram Harimau Malaya sepatutnya melukai sisi insaniyah manusia. Banyak harimau yang cacat kekal, hilang anggota tubuh ketika cuba meloloskan diri daripada jerat penjenayah. Cara pemburu haram membunuh Harimau Malaya juga amat kejam. Ada pemburu yang menghempap tubuh harimau yang telah dijerat dengan batang pokok sehingga patah tulang harimau tersebut.

Justeru, instrumen perundangan perlu ditegakkan agar mereka yang menzalimi haiwan yang tidak berdosa ini dapat dibawa ke muka pengadilan. Penguatkuasaan yang ketat dapat menyaksikan lebih banyak pendakwaan dalam kes-kes pemburuan haram.

Save The Malayan Tiger
Save The Malayan Tiger is a Malaysian conservation campaign led by Pemangku Raja Pahang, HRH Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, who works with local citizens and organizations to protect the tigers and their ecosystems.
Follow us on: