Adakah perundangan dan penguatkuasaan yang ketat mampu menyelamatkan Harimau Malaya?
Undang-undang merupakan senjata ampuh untuk menangani dan mengekang perbuatan pihak yang terus-menerus menganiaya hidupan liar yang semakin ketara kebelakangan ini.
Namun, bagi menjamin keberkesanannya, undang-undang berkaitan dengan hidupan liar wajar menepati realiti dan situasi semasa.
Undang-undang yang longgar dan lewah tidak akan berjaya mengekang penjenayah hidupan liar. Dalam konteks perlindungan ke atas Harimau Malaya, sindiket licik pemburuan haram ini berkait rapat dengan jaringan pemerdagangan anggota dan organ harimau. Bahkan, konflik manusia dan harimau yang sering berakhir dengan kematian harimau turut menjadi sebahagian modus operandi dalam rantaian pemerdagangan organ harimau tersebut.
Pernah diberitakan tentang penduduk di kawasan pedalaman berdekatan hutan meracun daging sebagai umpan, yang kemudiannya dimakan harimau. Apabila harimau itu mati, pembunuh harimau akan menghubungi penjenayah lain yang bersekongkol dalam sindiket haram untuk menjual organ tubuh harimau tersebut pada harga yang amat tinggi.
Setiap organ tubuh Harimau Malaya diperdagangkan di pasaran gelap dengan harga yang sangat mahal, sehingga mencecah berpuluhan juta ringgit. Organ tubuh Harimau Malaya yang menjadi sasaran pemerdagangan haram ini termasuklah tulang, kulit, taring, kuku dan misainya. Boleh dikatakan bahawa tiada langsung bahagian anggota tubuh Harimau Malaya yang telah dibunuh tidak dijaja di pasaran gelap.
Sindiket Licik dan Kitaran Pasaran Gelap
Memburu adalah permulaan dalam rantaian pemerdagangan anggota tubuh Harimau Malaya. Ia berkait rapat dengan teori ekonomi: ada barang, ada permintaan, ada harga, maka berputarlah kitaran ekonomi di pasaran gelap.
Disebabkan permintaan yang tidak putus-putus untuk organ tubuh harimau, pasaran gelap akan sentiasa menuntut ‘barangan’ baharu, dan permintaan tersebut pantas disahut oleh pemburu haram untuk mencari mangsa harimau yang seterusnya. Hal inilah yang sentiasa mendorong pemburuan haram. Asal sahaja ada permintaan untuk organ dan anggota tubuh harimau, jaringan sindiket pasaran gelap akan mula menggerakkan geng pemburu untuk menjerat harimau.
Dari sisi tindak-tanduk dan gerak kerja penjenayah-penjenayah ini, pemerdagangan haram Harimau Malaya ini melibatkan sindiket yang amat terancang. Sindiket pemerdagangan hidupan liar yang cukup licik ini meletakkan jenayah terhadap hidupan liar – termasuk Harimau Malaya – antara sindiket terbesar dunia, sebaris sindiket narkotik, senjata api dan pemerdagangan manusia.
Apatah lagi apabila ia melibatkan Harimau Malaya, yakni spesies yang menjadi tumpuan penjenayah antarabangsa, rangkaian sindiket pemburuan haram ini sangat luas, kompleks dan berlapis-lapis. Penjenayah sentiasa memastikan tahap kewaspadaan yang tinggi agar sukar dikesan. Maklumat hanya berputar-putar dalam jaringan yang sulit. Penjenayah dalam sindiket ini juga amat berhati-hati dengan sebarang pembeli baharu.
Jaringan sindiket pemerdagangan Harimau Malaya dikatakan sangat terancang dan kompleks kerana ia melibatkan banyak pihak: pemburu, penjual, agen pasaran gelap, penghantar barangan, orang tengah dan akhirnya kepada pembeli akhir. Adakala, jaringan tersebut tidak panjang, mungkin daripada pemburu langsung kepada pembeli.
Namun, apa yang pasti, jaringan sindiket pemerdagangan Harimau Malaya beroperasi di dua kawasan. Pertama, di habitat harimau iaitu di hutan. Kedua, selesai harimau itu dibantai dan dibunuh, operasi akan berterusan di luar hutan, sama ada di penempatan penduduk, daerah, negeri, merentas wilayah, dan akhirnya merentas sempadan negara.
Di peringkat terbawah, pemburu bertindak dalam jaringan sesama pemburu lain atau broker dalam satu hubungan yang membawa keuntungan untuk masing-masing. Boleh jadi si pemburu juga ialah seorang penjual, namun mungkin orang lain yang menjual bagi pihaknya.
Ahli sindiket ini merupakan pihak yang bersubahat dan bersekongkol tanpa ikatan yang rapat. Hanya ada satu sahaja kepentingan bersama mereka, iaitu mengaut wang haram dengan banyak. Geng tanpa ikatan tetap inilah yang menjadikan sindiket jenayah pemerdagangan haram Harimau Malaya amat rumit untuk dikesan. Apatah lagi, sindiket ini telah beralih kepada teknologi digital seperti aplikasi sembang WhatsApp dan Telegram selain Facebook, yang menyebabkan pihak berkuasa sukar mengumpul bukti digital untuk mendakwa dalang yang terbabit dalam jenayah pemerdagangan organ harimau.